Pemain beregu wanita, M. Thinaah, berharap mendapat rentak terbaik dalam kempen Piala Sudirman di Finland dengan menepati misi suku akhir yang bermula Ahad ini.

Dia mengakui berdepan kesukaran melakukan persediaan di samping gandingannya, Pearly Tan, selepas tempoh masa lama tanpa kejohanan selepas kali terakhir beraksi dalam Kejohanan Seluruh England, Mac lalu.

"Kami membuat persiapan yang baik walaupun bergelut pada permulaannya.

"Minggu pertama agak sukar sebab sudah lama tidak beraksi bersama, lagipun lama tidak menyertai kejohanan.

"Kombinasi kami semakin meningkat setiap hari," kata pemain di ranking ke-19 dunia itu di Nadi Arena sebelum berlepas ke venue kejohanan berkenaan, hari ini.





Juara Terbuka Switzerland pada Mac lalu itu kini merupakan beregu wanita nombor satu negara selepas bekas beregu wanita, Chow Mei Kuan, memilih untuk bersara.

Di sebalik umur yang muda, Thinaah-Pearly tidak gentar apabila bakal bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman dalam Piala Sudirman.

Dia juga menjelaskan dua aspek yang mereka perlu lebih fokus sebagai penambahbaikan supaya mampu melakar kejutan ketika kejohanan berprestij itu.

"Kami belajar daripada kejohanan terakhir, iaitu perlu lebih tenang dan agresif ketika menyerang.

"Ini dua aspek sebelum kami perlu tingkatkan. Kami akan berdepan lawan dalam kalangan 10 terbaik dunia.

"Kami harap dapat jelmakan apa yang dilakukan dalam latihan," katanya.