Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya membuktikan skuad negara mampu mencapai lebih daripada sasaran dalam Piala Sudirman sekaligus meletakkan Malaysia lebih jauh selepas hampir tiga musim menamatkan kempen Piala Sudirman di peringkat suku akhir.

Dengan kejayaan itu, Pengarah Teknikal BAM, Wong Choong Hann, enggan cepat berpuas hati malah mahu usaha memperbaiki beberapa kelemahan untuk menutup jurang kecil antara wakil negara dengan barisan pemain di ranking lebih baik.

"Memang terdapat kekurangan berbanding lawan yang berada di ranking lebih tinggi. Kami akan memerlukan masa untuk memperbaikinya supaya mencapai tahap yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Choong Hann berkongsi keadaan barisan pemain yang ketika ini dalam keletihan sebelum berangkat ke Aarhus, Denmark esok untuk menghadapi kempen Piala Thomas dan Uber bermula Sabtu ini.

Ia cabaran buat barisan kejurulatihan untuk mempersiapkan skuad negara dalam keadaan cergas dalam tempoh lima hari sahaja.

"Setakat ini semua pemain berada di tahap yang baik cuma terdapat proses pemulihan yang minimum diperlukan sebelum menghadapi saingan seterusnya.

"Cabaran-cabaran ini amat diperlukan bagi pemain muda negara supaya mereka mengetahui apa yang harus dipikul dan perlu dicapai setiap kali turun ke gelanggang."