Juara bertahan Junior Purple League (JPL), Petaling BC, mahu melakar sejarah muncul selaku juara tiga tahun berturut-turut menjelang saingan tahun ini yang akan kembali bersambung pada 30 September ini.

Petaling BC telah muncul juara Junior Purple League sebanyak dua kali, bermula dengan edisi sulung pada tahun 2015. Namun, memasuki tahun ketiga, kekuatan pasukan lawan dilihat sudah semakin meningkat dan ia memberi kesukaran buat mereka mempertahankan kejuaraan.

Selepas enam perlawanan yang berlangsung dalam divisyen satu, Petaling BC kini di tangga kedua dengan 59 mata, berkongsi mata dengan pendahulu, Cheras BC, namun kurang satu perlawanan.

“Kami harus terus berusaha dan mempersiapkan diri kerana sudah menjuarai kejohanan ini selama dua tahun. Sasaran kami adalah mencipta hatrik kejuaraan,” ujar pemain perseorangan Petaling BC, Man Wei Chong.

Sementara itu, dalam saingan divisyen dua, antara pasukan yang terus memberikan cabaran adalah Subang BC yang kini menghuni tangga kelima keseluruhan selepas mengutip 49 mata.

Tumpuan semestinya terarah kepada pemain perseorangan, Muhd Shaqeem Eiman, yang memenangi kesemua lima perlawanan yang diharungi setakat ini.

“Agak terkejut selepas berjaya meraih kemenangan sebelum ni. Saya akan cuba meneruskan aksi cemerlang untuk menarik perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)," katanya.