Suka atau tidak, seluruh dunia badminton perlu bersedia dengan perubahan format kiraan mata kepada format 11 mata lima set yang akan ditentukan esok.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai usul tambahan apabila cadangan itu dibahaskan sebelum setiap ahli gabungan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memulakan undian dalam mesyuarat agung edisi ke-82 badan induk dunia itu.

Selain Indonesia dan Maldives -- yang mengusulkan cadangan perubahan format kiraan mata itu bulan lalu -- beberapa ahli gabungan lain juga sudah menyatakan persetujuan, antaranya Taiwan, Badminton Asia dan Badminton Eropah.

Jika mendapat sokongan majoriti 194 ahli gabungan, format itu akan diuji selepas Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini dan hanya melibatkan saingan peringkat bawahan -- sesuatu yang dianggap BAM tidak efektif, terutama melibatkan pelaksanaan sesuatu besar seperti itu.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata kepada Nadi Arena: "Kami bukan membantah 100 peratus pelaksanaan sistem mata ini tetapi kami berasakan perlu ada waktu percubaan sebelum ia dilaksanakan.

"Kerana sebelum ini, apabila cadangan ini diusulkan kepada BWF, mereka hanya akan melakukan percubaan dalam kejohanan peringkat bawahan, iaitu saingan cabaran antarabangsa.

"Kami mengesyorkan supaya tempoh percubaan itu diadakan bagi setiap peringkat kejohanan kerana dalam pertukaran format ini, terdapat satu klausa yang menyatakan keputusan akhir hanya akan tertakluk kepada keputusan Majlis BWF, jadi masih ada masa harapan untuk kami mencadangkan agar proses percubaan itu dapat dijalankan terlebih dahulu," katanya.