Carolina Marin bukanlah satu nama asing buat peminat badminton dunia.

Dilabel sebagai antara pemain Eropah yang berjaya, Carolina telah menempa pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sebagai salah seorang atlet sukan berjaya dari Sepanyol dan sering merantau dari satu negara ke negara lain, dia turut dilantik menjadi duta kepada LaLiga yang bertujuan mempromosikan liga bolasepak itu di seluruh pelosok dunia.

Marin satu-satunya pemain badminton wanita Sepanyol yang pernah dinobat juara dunia serta pemenang pingat emas Olimpik (Rio 2016).

Ketika dia tiba di tanah air bagi beraksi dalam Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, Carolina turut melaksanakan tugasnya selaku duta LaLiga dengan mempromosikan bola sepak negara itu.

Atlet kelahiran Huelva, Sepanyol ini ketika ditemui Nadi Arena, mendedahkan Barcelona sebagai pasukan diminatinya.

"Setiap perlawanan LaLiga cukup istimewa kerana setiap satunya menghadirkan persaingan sengit.

"Ketika saya hadir menyaksikan perlawanan Barcelona, penonton yang hadir turut melaungkan nama saya. Saat seperti itu cukup membantu menyuntik keyakinan ketika saya beraksi di atas gelanggang," kata carolina.

Meskipun berada di Malaysia, namun pemain berusia 23 tahun ini mengakui dia tidak sempat untuk mengenali Malaysia dengan lebih baik kerana fokusnya sentiasa terarah ke atas gelanggang.

"Ketika saya terlibat dalam mana-mana kejohanan, fokus saya tertumpu dengan perlawanan di atas gelanggang dan sesi latihan.

"Saya sering memberi perhatian lebih kepada persiapan. Persiapan yang paling saya ingati adalah ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

"Bagi saya, persiapan ketika itu adalah yang paling sukar dalam karier saya tetapi ia cukup berbaloi kerana berjaya membawa pulang pingat emas," tambahnya.

Kejayaan di Rio bukan sahaja membuka mata ramai pihak mengenai kemampuan Carolina, bahkan ia turut mencetuskan fenomena baru di Sepanyol.

"Saya gembira kerana kini di Sepanyol sukan badminton sudah dikenali dan mereka mengenali diri saya. Saya berasa bersyukur kerana kini apabila saya berjalan di taman, saya dapat melihat kanak-kanak bermain badminton," jelasnya.