Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengharapkan agar satu langkah drastik dilakukan oleh jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, ekoran kegagalan kategori itu mempamerkan prestasi mantap dalam kejohanan utama, baru-baru ini.

Tiada seorang wakil dari Malaysia yang berjaya membutirkan pingat buat negara bagi kategori perseorangan lelaki dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala laluan Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan Dunia terkandas seawal pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez.

Situasi itu memberikan kesan besar buat BAM dan bagi Norza, satu langkah dan perancangan yang terperinci perlu diwujudkan bagi mengelakkan episod suram badminton negara bermula.

"Kekalahan menerusi acara perseorangan lelaki dalam Sukan SEA 2017 serta Kejohanan Dunia di Scotland baru-baru ini tidak boleh diterima.

"Bagaimanapun, tempoh masa pendek yang dimiliki oleh Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih negara perlu diambil kira.

"Namun, selepas ini dia harus tampil dengan perancangan yang lebih terperinci untuk setiap lapisan pemain bagi membaik pulih prestasi pemain perseorangan negara," kata Norza.