Kejayaan menumbangkan dua pemain bertaraf dunia sepanjang tahun ini belum bererti perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sudah mencapai status elit ketika pengembaraannya untuk mencabar kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kian mencabar.

Mangsa pertamanya ialah bekas juara dunia dari China, Chen Long, yang tunduk dalam pusingan kedua Kejohanan Terbuka Indonesia, Julai lalu.

Dia kemudian meraih satu lagi kemenangan bermakna dalam pusingan kedua Terbuka Korea Selatan minggu lalu apabila menumbangkan seorang lagi bekas juara dunia, Viktor Axelsen.

Namun, taraf sebenar Zii Jia sebagai pemain yang masih meningkat naik diserlahkan oleh jaguh nombor satu dunia, Kento Momota, yang menyingkirkannya dalam suku akhir.

Ia bermakna Momota kini melebarkan rekod kemenangannya ke atas perseorangan nombor satu negara itu kepada 4-0, termasuk kejayaan dalam Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia.

"Kami melatihnya dalam kejohanan," kata jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

"Kerana kami hanya balik (ke Malaysia untuk berlatih) selama dua minggu sebelum menyertai kejohanan yang seterusnya.

"Sekarang, saya lebih fokus kepada aspek taktikal, strategi dan cara permainan yang diperlukan.

"Secara jujurnya, latihan berkualiti bagi meningkatkan tahap stamina dan kecergasannya masih belum sampai ke tahap itu.

"Memandangkan dia sedang mengejar mata (ke Sukan Olimpik), hanya itulah perancangan saya hingga Mac depan.

"Selepas dia layak ke Sukan Olimpik, barulah saya akan mengurangkan kejohanannya," katanya.