Penganjur perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2017, Life Profit Sdn Bhd, sedang dalam proses untuk membayar wang hadiah kemenangan secara ansuran di mana hampir RM50,000 sudah dilunaskan.

Proses pembayaran itu akan selesai pada November tahun depan.

Life Profit Sdn Bhd sudah memulakan proses pembayaran secara ansuran iaitu sebanyak RM3,700 sebulan sejak tahun lalu.

Ia sebagai komitmen untuk melangsaikan wang hadiah kemenangan JM 2017, yang mencecah hampir RM153,000.

Pengurusnya, Hazri Hassan, memaklumkan majoriti pegawai lama sudah meninggalkan syarikat itu, namun memberi jaminan pihaknya akan melangsaikan kesemua wang hadiah kemenangan itu sehingga tarikh akhir November tahun depan.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah menerima lebih 30 peratus daripada bayaran ansuran itu dan merancang untuk menyalurkannya kepada pasukan yang terlibat selepas sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

"Kami boleh membayarnya secara ansuran kepada pasukan," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

"Kalau boleh (pembayaran) pasukan yang lebih kecil kami akan bayar dahulu.

"Yang kami tidak mahu apabila ada pasukan lain tahu ada pasukan yang sudah mendapat pembayaran, mereka semua akan meminta kepada kami.

"Tujuan kami adalah untuk menunggu semua (pembayaran selesai).

"Mereka (penganjur) tiada pilihan dan perlu bayar," katanya.