Pemain badminton beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon, mengucapkan terima kasih buat pasangannya, Goh Liu Ying, selepas kedua-dua mereka membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing, sekaligus menamatkan perjalanan selama 13 tahun bersama.

Peng Soon, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, turut mengesahkan bahawa Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF minggu lalu merupakan penampilan terakhir pasangan pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, sekali gus tidak akan menyertai Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol bermula hujung minggu ini.

"Sewaktu Kejohanan Terbuka Denmark lalu, saya mengalami kecederaan tangan dan terpaksa menahan kesakitan selama dua bulan sehingga Final Jelajah Dunia.

"Selepas Final Jelajah Dunia, saya dan Liu Ying telah berbincang, kami rasa badan kami sudah penat, jadi kami memilih untuk tidak ke Kejohanan Dunia.

"Saya rasa ini bukanlah satu berita baik tetapi sudah sampai masanya untuk saya dan Liu Ying berpecah, jadi ini adalah keputusan yang amat sukar kerana saya dan Liu Ying sudah bergandingan selama 13 tahun.

"Sudah pasti saya berasa kekok untuk membuat keputusan ini.

"Mungkin haluan saya dengan Liu Ying juga sudah sedikit berbeza. Sasaran saya dengannya untuk tahun depan juga berbeza, jadi sebab itulah kami memilih untuk berpecah.

"Selepas Sukan Olimpik, saya sudah berbincang dengannya (tentang perpecahan ini).

"Saya inging mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menemani saya sepanjang 13 tahun ini," katanya.

Mengenai masa depannya dalam sukan badminton, Peng Soon menambah: "Setakat ini saya tidak boleh cakap dulu kerana saya masih merancangnya.

"Tetapi saya masih lagi akan bermain, saya akan meneruskan karier badminton saya."