Gempar apabila ketiadaan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, yang dikhabarkan sudah hampir seminggu tidak kelihatan di Akademi Badminton Malaysia tatkala skuad negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China pada 30 Julai ini.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek, berpendapat situasi itu sesuatu yang luar biasa walaupun telah dimaklumkan perkara ini oleh Chong Wei atas alasan untuk berehat selepas berentap dalam Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia.

Bagaimanapun, Misbun tidak mendedahkan jika Chong Wei berehat daripada kecederaan atau kepenatan menyertai kejohanan dengan jadual yang padat.

Sehingga kini, masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada Chong Wei akan menarik diri daripada Kejohanan Dunia bagi memberi ruang persiapan ke Sukan Asia Indonesia.

"Memang ia sesuatu yang luar biasa. Dulu dia pernah berehat panjang sebegini tetapi dia melalui proses pemulihan otot," kata Misbun.

"Jadi, apa yang saya nampak, dia tidak mahu diganggu dan hanya mahu berehat. Saya sarankan biar pihak BAM yang umumkan. Mungkin baki cuti yang dimiliki masih banyak, jadi biarlah dia berehat."