Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan pemain profesional perlu memahami polisi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) setelah mereka membuat keputusan keluar daripada badan induk itu.

Menerusi perbincangan dengan dua beregu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong sebelum ini, pihaknya telah memberikan penerangan yang jelas implikasi yang perlu dihadapi pemain berkenaan.

“Bila keluar BAM, mereka bersetuju diberi layanan sebagai pemain bebas. Mereka sebenarnya ada peluang untuk pergi lebih jauh, cari penaja untuk meneruskan karier mereka dalam situasi yang tidak terlalu tertekan.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh keempat-empat pemain yang keluar. Kami membenarkan mereka bermain sebagai bebas kerana kami beranggapan dengan reputasi mereka, mereka akan dapat penaja dengan lebih senang.

"Mereka juga boleh berusaha ke Sukan Olimpik dengan persediaan sendiri dan kurang tekanan.

"V Shem-Wee Kiong bersama kami ,selama 17 tahun Peng Soon-Liu Ying 15 tahun, cuba bayangkan berapa banyak pelaburan yang telah BAM laburkan kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis BAM di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying sebelum ini meminta BAM mempertimbangkan permohonan mereka untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (BAM) sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Mohamad Norza menjelaskan secara purata BAM telah melaburkan RM500,000 setiap pemain bagi dua beregu tersebut sejak dua tahun lalu.

Kini jumlah perbelanjaan itu dapat dibelanjakan kepada pembangunan pemain muda yang berada di bawah naungan BAM.

"Tetapi kami mengiktiraf dan menghargai bekas beregu kita, mereka adalah penyumbang pingat Sukan Olimpik. Mereka mahu berusaha untuk meraih slot Sukan Olimpik dengan cara mereka sendiri, BAM memberi mereka kebebasan itu.

"BAM tidak beri kebebasan itu kepada pemain lain kerana pemain muda di BAM belum menyumbang kejayaan besar kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata pemain bebas itu juga dimaklumkan sekiranya mereka layak ke Sukan Olimpik, mereka akan dipanggil dalam skuad kebangsaan dalam persiapan rapi ke temasya berprestij itu.

"Kedua, sekiranya ada panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan, Piala Sudirman, Piala Thomas, Sukan SEA dan Sukan Asia, mereka akan bersama BAM. Yang lain mereka perlu akur dengan polisi yang ditetapkan,” jelasnya.

-- BERNAMA