Pemain dan jurulatih skuad badminton kebangsaan tiada ruang untuk gagal dalam memastikan sasaran di pentas Sukan SEA Filipina 2019 menjadi realiti bagi memulihkan keyakinan sukan itu di mata rakyat Malaysia.

Filipina meneruskan tradisi penganjuran badminton dalam temasya Sukan SEA dengan mempertandingkan kesemua tujuh acara melibatkan lima individu serta tambahan dua pingat emas yang menjadi rebutan menerusi berpasukan lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, kemampuan Malaysia menyasarkan dua emas dalam temasya dwi tahunan itu menjadi persoalan tatkala kali terakhir kem kebangsaan melakukannya adalah ketika edisi Singapura 2015.

"Walaupun Sukan SEA melibat negara Asia Tenggara, ia begitu besar. Kami melihat pencapaian generasi pelapis daripada Singapura, Thailand dan Indonesia memang menggerunkan. Sebab itu saya rasa Malaysia tidak boleh memandang ringan sekiranya benar-benar ingin berjaya sehingga dalam Olimpik," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria.

"Kami juga ingin melihat bahawa apa yang dimahukan ini sejajar dengan kemahuan jurulatih serta pemain. Kami meletakkan satu penanda aras tetapi pemain dan jurulatih hanya melakukan perkara biasa, jadi saya tidak rasa ia bagus.

"Hari ini, semua peminat badminton mahu perubahan daripada segi pendekatan pemain dan jurulatih. Bagi saya, ia lebih kepada kemahuan secara terdesak berbanding perkara biasa."