Sebuah pasukan baru angkat berat akan dibentuk semula menerusi pemilihan secara teliti berikutan pembubaran skuad kebangsaan.

Saranan itu disuarakan oleh Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian, hari ini.

Tetapi terlebih dahulu, sebuah pasukan yang diwakili sekitar lima atlet akan dibentuk segera khusus menghadapi Kejohanan Dunia di Tashkent, Uzbekistan, pada awal Disember kelak.

"Memandangkan masa sudah singkat, pasukan ini perlu ditubuhkan segera jadi pemilihannya akan diadakan pada bulan depan.

"Kami akan menilai tahap persembahan mereka sama ada mereka mampu menyumbangkan pingat dalam Sukan Komanwel kelak termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan mungkin untuk Sukan Olimpik Paris 2024," katanya di Nadi Arena.

Dalam masa sama, wajah baru skuad angkat berat kebangsaan akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa dengan pihak persatuan yang juga akan diadakan bulan depan.

Ia bagi menentukan jumlah atlet, kriteria, penginapan dan program yang akan diikuti.

Peranan utama skuad baru itu adalah sempena persediaan ke arah Sukan Komanwel 2022 dengan misi mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi dalam temasya Gold Coast 2018.

"Kami mahu menubuhkan sebuah pasukan yang bertanggungjawab agar tidak lagi terlibat dengan apa-apa isu dan kontroversi berkaitan doping.

"Pihak persatuan akan menamakan seorang jurulatih tempatan dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi, juga telah bersetuju untuk melantik jurulatih dari luar negara dengan menilai beberapa calon dan sesi temu duganya akan diadakan," katanya.