Chef-de-mission (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, menjelaskan keadaan fizikal dan mental atlet para negara di tahap terbaik menjelang temasya pada Selasa depan itu.

Dengan segala persiapan di tanah air, kontinjen Malaysia menyasarkan tiga pingat emas dalam misi mengulangi pencapaian di Brazil, lima tahun lalu.

"Saya sudah ingatkan atlet dekat dua minggu ini (bahawa) semua (peserta) ada adalah di tahap yang sama.

"Tiada sebab untuk atlet mengatakan mereka tidak bersedia, tidak cukup kejohanan kerana semua adalah sama.

"Mereka perlu tunjukkan bahawa mereka boleh buat, inilah satu-satunya pelantar untuk mereka. Saya tidak boleh terima alasan mereka gagal dan tidak cukup itu ini.




"Ini tanggungjawab masing-masing tapi kami sudah bersedia, Insya-Allah.

"Kami akan berkongsi blok dengan kontinjen Portugal di tingkat tujuh.

"Saya sendiri juga akan tinggal di Perkampungan Sukan dan tidur di atas katil kotak, saya rasa katil itu sangat selesa," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum bertolak ke Jepun hari ini.

Sementara itu, atlet renang para kebangsaan, Jamery Siga sempat berkongsi ketibaannya di Jepun.

Menurutnya, segala proses dokumentasi termasuk langkah mencegah penularan COVID-19 memakan masa sejam sebelum mereka dibenarkan ke Perkampungan Sukan.

"Tapi katil di sini kalau orang berbadan besar macam Ziyad (Zolkepli) memang susahlah.

"Tempat makan juga menarik, ada yang halal dan tidak," kata wakil dari Sarawak itu.

SENARAI PENUH ATLET:

Olahraga: Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zokefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Wong Kar Gee, Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin

Berbasikal: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Muhammad Hafiz Jamali, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, Nurul Suhada Zainal

Renang: Brenda Anelia; Muhammad Nur Syaiful Zulkefli, Jamery Siga

Memanah: S Suresh, Wiro Julin

Badminton: Cheah Liek Hou, Didin Terasoh

Boccia: Chew Wei Lun

Powerlifting: Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie

Ping Pong: Chee Chaoming

Tenis Kerusi Roda: Abu Samah Borhan