Sehari sebelum memulakan turun mempertahankan pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jaguh lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, perlu memberi tumpuan khusus untuk menajamkan teknik lontaran selain menitik beratkan aspek fizikal dan mental.

Jurulatihnya, Faizol Harun, berkongsi inisiatif terakhir anak buahnya bagi merealisasikan kejuaraan selain melunaskan janji atlet berusia 31 tahun itu yang berikrar mendapatkan Hadiah Kemerdekaan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Saya tekankan corak latihannya daripada segi teknik dan mental.

"Ada sedikit gangguan di dalam fikirannya yang boleh menjejaskan tekniknya.

"Kalau tekniknya tidak menjadi sedikit, fikirannya akan mula terganggu, terbantut," kata Faizol di Nadi Arena sebentar tadi.




Menurutnya: "Saya sudah pesan kepadanya agar tidak memikirkan soal semua ini, cuma tumpukan sahaja untuk catatan terbaiknya.

"Kalau dia berjaya melakukannya, maka secara automatik dia mampu melakar rekod Sukan Paralimpik dan dunia.

"Untuk memburu pingat emas, dia perlu melakukan lontaran 17.5m ke atas.

"Pencabar terdekatnya ialah dua atlet Ukraine."