Kurang 24 jam sebelum saingan 400 meter pecut wanita kategori T20, Malaysia yang menaruh harapan kepada Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin mengakui berdebar sebaik senarai peserta dikeluarkan.

Siti Noor Iasah bakal berentap dengan lima lagi pelumba dalam pusingan pertama acara olahraga Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu di Stadium Olimpik Tokyo, esok.

Antara pencabar yang dijangka bakal memberi saingan adalah pelari dari Amerika Syarikat (AS), Breanna Clark, yang merupakan penyandang pingat emas acara itu.

Turut bakal menjadi pesaing juara Sukan Para Asia 2018 adalah pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2019, Carina Paim, dari Portugal.

"Saya terlepas dua Kejohanan Dunia sementara mereka pula masuk bertanding.

"Jadi saya tidak boleh pandang rendah kepada mereka, masing-masing mempunyai kekuatan.

"Saya akan cuba buat yang terbaik dan saingan juga hebat-hebat.

"Jurulatih pesan saya cuma bersedia sahaja selepas berlatih sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri.

Tiga pelumba terbaik bakal mara ke final dan pelumba negara itu optimis dalam usaha membalas kekecewaan lima tahun lalu yang menyaksikannya terlepas gangsa.