Cheah Liek Hou selangkah lagi untuk menjadi pemenang pertama pingat emas negara menerusi badminton selepas layak ke perlawanan akhir Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Liek Hou akan berentap dengan pilihan utama kejohanan yang juga pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimushti, dalam final kategori SU5 yang dinanti-nantikan, pukul 3 petang ini.

Dia dipaksa mengerah keringat dalam pertemuan dengan pemain nombor dua dunia, Fang Jen Yu, dari Taiwan pagi ini sebelum menamatkan pertarungan selama 51 minit itu 15-21, 21-10, 21-16.

Buat sekian kalinya pemain negara menjangkau usia 34 tahun itu menewaskan lawan yang sama ketika di peringkat Kumpulan B kelmarin, tetapi pertemuan kali ini jauh lebih sukar dalam usaha wakil Malaysia tersebut merintis laluan ke final.

Setelah menyerah 15-21 dalam set pembukaan, juara dunia SU5 enam kali itu bangkit dalam set kedua dan dia tidak menoleh lagi sebelum memuktamadkan kemenangan.

Liek Hou acap meraih mata ketika servis di tangannya dengan memungut 34 mata berbanding Jen Yu 24.

Sementara itu, Dheva menewaskan rakan senegara dari Indonesia, Suryo Nugroho, 21-13, 21-15 untuk menempah tiket perlawanan akhir.