Perseorangan badminton lelaki kategori SL3 menyaksikan Arif Ridzuan Nasir dari Negeri Sembilan layak ke pentas akhir setelah mengalahkan wakil dari Sarawak dengan kemenangan 16-21, 21-13, 21-17.

Arif Ridzuan yang akan bertemu atlet para kebangsaan, Mohd Huzairi Abdul Malek, dari Wilayah Persekutuan (WP) tidak memandang enteng terhadap lawannya sambil dia percaya bahawa saingan sengit akan diberikan.

"Pencabar yang dihadapi esok cukup sukar memandangkan lawan yang dihadapi merupakan bekas atlet kebangsaan.

"Saya percaya esok akan menjadi satu perlawanan yang sengit," kata Arif Ridzuan selepas kemenangan di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Sementara beregu lelaki Sabah, Gerald H. Simbaku dan Shah Rizan Daud, dituntut untuk mengerah keringat sebelum menundukkan lawan dari Kelantan 17-21, 21-16, 21-15.





Gerald-Shah Rizan akan berentap dengan pencabar dari Johor, Muhd Yusman Md Zahar-Muhd Fareez Anuar, dalam aksi final kategori SU5.

Bagi acara lelaki perseorangan kategori SH6 pula, atlet dari Sabah, Charlie Fred, menewaskan Mustakim Ab Rasip dari Melaka dengan kemenangan straight set 21-15, 21-15.

Ketiga-tiga kategori ini menepati ramalan awal untuk membuat perhitungan dalam perlawanan akhir esok.