Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, Andy Murray, berasakan Tokyo 2020 mampu menjadi 'sinar harapan' selepas gangguan yang berterusan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Murray akan mengambil bahagian dalam temasya Olimpik yang keempat ketika dia ingin mempertahankan gelaran perseorangan yang dimenanginya di London 2012 dan kemudian berjaya melakukannya empat tahun lalu di Rio.

Tertunda selama setahun kerana pandemik global dan dianjurkan tanpa penonton di Jepun, Murray bersemangat untuk bertanding ketika dia berusaha untuk membina momentum berikutan masalah kecederaannya sebelum ini.

"Hadir buat kali kedua dalam Sukan Olimpik selaku juara bertahan membuatkan saya teruja dan menantikan cabaran. Sukan Olimpik merupakan pertandingan terbesar dunia dan sebagai atlet kami berlatih untuk saat ini," katanya.

"Tokyo 2020 dalam tahun 2021 sangat unik, dianjurkan ketika pandemik dan kami telah melihat usaha luar biasa daripada atlet, peminat dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan saingan ini diteruskan.

"Dalam banyak cara, ia lebih penting daripada sebelumnya bahawa orang di seluruh dunia dapat berhubung kembali dengan emosi dalam acara sukan, menonton persembahan yang luar biasa dan meraikan pencapaian atlet yang datang dari seluruh dunia.

"Bagi mereka yang masih mengalami situasi yang cukup mengecewakan sepanjang pandemik ini, Sukan Olimpik dapat dilihat menjadi sinar harapan."