Skuad badminton negara bakal berdepan laluan berliku dalam Sukan Olimpik Tokyo Julai depan apabila hanya satu wakil negara sahaja dijangka diletakkan sebagai pilihan dalam temasya itu.

Cabaran buat beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menanti undian penuh debar, sama ada bakal berentap dengan gergasi Indonesia, China dan Jepun di pusingan awal.

Berdasarkan congakan dalam ranking Olimpik Persekutuan Badminton Dunia (BWF), 16 pemain bakal diletakkan sebagai pemain pilihan bagi acara perseorangan, sementara hanya empat sahaja diperuntukkan untuk acara beregu.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, dijangka diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Tokyo nanti.

Namun untuk satu lagi prospek buat beregu lelaki, diterajui Aaron-Wooi yik perlu bersiap-siaga kerana tidak berada dalam kelompok pemain pilihan kerana berada di tangga kesembilan, menyaksikan mereka mungkin menempuh perlawanan sukar pada permulaan saingan.

"Kami agak ketinggalan jauh daripada kedudukan pilihan utama, namun masih terdapat peluang untuk berdepan mereka namun kami sentiasa berdepan mana-mana lawan sekalipun," kata Aaron.

Situasi tersebut sama seperti kempen Malaysia ketika Olimpik Rio 2016 dengan Datuk Lee Chong Wei menjadi satu-satunya pemain yang berada dalam senarai pilihan kejohanan.

Bagaimanapun, Aaron melihat ia tidak menjadi masalah memandangkan seniornya, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang turut tidak diletakkan sebagai pilihan ketika di Brazil, pulang dengan pingat perak dalam penampilan pertama mereka dalam Olimpik.

"Pencapaian V Shem-Wee Kiong mencetus motivasi buat kami memberikan yang terbaik namun saya dan Wooi Yik akan berusaha membawa pulang pingat emas untuk negara."

Bagi Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, sama ada wakil negara diletakkan sebagai pilihan atau sebaliknya tidak menjadi fokus utama mereka.

Sebaliknya, misi ke Olimpik kali ini harus diterjemahkan sebaik mungkin biarpun empat daripada lima wakil malaysia kali ini bakal membuat penampilan sulung dalam temasya itu.