Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei kekal sandaran selaku beregu nombor dua negara selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, pemilihan itu dibuat berdasarkan prestasi yang ditonjolkan beregu nombor 10 dunia berkenaan susulan kejayaan meraih pingat emas Berpasukan Asia sementara mengutip gangsa dalam Kejohanan Asia di Manila, Mei lalu.

"Ada yang tanya bagaimana dengan (kedudukan) Nur Izzuddin-Haikal Nazri (memandangkan) mereka baru menang Cabaran Antarabangsa Malaysia (di Ipoh semalam).

"Tapi saya tidak mahu membuat satu kenyataan yang boleh mengelirukan pemain.




"Jadi kami masih mengharapkan Nur Izzuddin-Sze Fei untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik.

"Saya rasa ia ada kemungkinan asalkan mereka mahu asah kepercayaan seperti ketika menjuarai Terbuka Jerman dan perkara ini yang harus saya tekankan ke atas mereka," katanya dalam sidang akhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Tugas pertama mereka pada 2023 ialah dalam Terbuka Malaysia 2023 bertaraf super 1000 yang bermula 10 Januari depan.