Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, bersikap terbuka sekiranya Datuk Misbun Sidek berhasrat untuk menemani Datuk Lee Chong Wei ke Kejohanan Badminton Dunia meskipun ia bertindih dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Misbun kembali ke pangkuan BAM sebagai ketua jurulatih perseorangan badminton kebangsaan dan dijadualkan memulakan tugasnya Isnin ini.

Kehadiran Misbun pastinya ditagih Chong Wei dalam usaha untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran di Glasgow nanti dan BAM bersedia memberikan kebebasan kepada jurulatih itu untuk membuat keputusan.

“Saya dan pihak BAM terbuka mengenai perkara tersebut dan dia perlu berbincang dengan jurulatih-jurulatih lain untuk membahagikan tugas masing-masing,” ujar Norza.

Sementara itu, Norza turut mengesahkan Misbun dan Chong Wei akan bekerjasama dalam melahirkan pelapis terbaik negara di masa akan datang.

“Mereka semua sedar Chong Wei sudah lama bersama dengan BAM dan mungkin dari situ, dia akan dapat memberikan sebarang maklumat mengenai kelemahan serta apa yang perlu diperbaiki demi menghasilkan pemain-pemain pelapis,” ujarnya.