Tan Sri Norza Zakaria mempertahankan jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal bari 2021-25.

Perkara itu disahkan Pengerusi Panel Pemilihan MOM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, selepas tiada pencalonan lain bagi mengisi jawatan itu.

Norza akan dibantu Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, selaku timbalan presiden -- yang turut menang tanpa bertanding.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia itu, bagaimanapun, menjelaskan bahawa mandat yang diberikan itu bukanlah sesuatu untuk diraikan, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab besar menjelang jadual padat sukan negara tahun depan.

Norza juga mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Belia dan Sukan yang baru.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang kepada menteri belia dan sukan yang baru, Datuk Seri Ahmad Faizal, dan saya berharap kami dapat bersama-sama memartabatkan sukan negara ke tahap tertinggi," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Dengan kehadiran menteri baru ini, kita boleh membicangkan, terutama mengenai bedah siasat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Seperti yang pernah dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini, terdapat peluang melebarkan peranan MOM untuk bekerjasama dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS.

"Oleh kerana Sukan Olimpik Paris hanya berselang tiga tahun sahaja -- bukan empat tahun -- saya fikir kita perlu segera mengusahakan hala tuju bagi Paris 2024 dan juga melihat kepada persediaan kita bagi Sukan SEA (Vietnam) dan Sukan Komanwel (England) tahun depan," katanya.

Pemilihan kepimpinan baharu MOM akan diadakan pada 4 September ini bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu yang akan dijalankan secara maya.