'Harap Goh Jin Wei bersabar', itu kata presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, susulan keputusan perseorangan wanita tersebut beralih ke kem profesional negara.

Norza menjelaskan tentang proses yang perlu dilalui oleh juara remaja dunia dua kali itu termasuk ada pampasan harus dibayar.

Sebelum ini, Jin Wei mengumumkan persaraan atas faktor tempoh pemulihan yang panjang selepas menjalani pembedahan akibat sakit di bahagian perut tiga tahun lalu.

Atas sebab itu, pemain berusia 21 tahun berkenaan perlu menjalani proses untuk memulakan karier sebagai perseorangan profesional negara seperti yang dilakukan oleh barisan profesional lain.

Menurut Norza, badan induk tersebut menghormati keputusan Jin Wei kembali ke gelanggang biarpun bukan di bawah naungan BAM, namun dia seharusnya mengikut peraturan lebih awal.

"Kami menghormati keputusan Jin Wei namun kami memiliki proses yang perlu dilalui. Sebagai pemain kelahiran Pulau Pinang, dia perlu melalui Persatuan Badminton Pulau Pinang untuk meluahkan keinginannya," kata Norza.

"Saya berharap dia bersabar berdasarkan proses yang bakal dilakukan.

"Ia bukan hanya melibatkan Jin Wei namun untuk seluruh pemain yang bersama BAM sebelum ini."

Sementara itu, Jin Wei berkongsi sebab tidak kembali ke BAM biarpun dia merupakan wakil badan induk tersebut sebelum mengumumkan persaraan.

"Terdapat perbincangan yang dijalankan dan berharap segalanya berjalan lancar. Atas sebab keadaan kesihatan yang tidak baik jadi menyukarkan saya untuk memberikan komitmen. Kesihatan adalah perkara paling utama bagi saya dan jika saya gagal mencapai prestasi terbaik ia akan mengecewakan ramai pihak," kata Jin Wei.