Datuk Seri Norza Zakaria memberikan komitmen penuh kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) dan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur sejurus disahkan sebagai presiden BAM dalam mesyuarat agung tahunan persatuan itu, hari ini.

Menurut Norza, beliau mengambil keputusan mengundurkan diri daripada ISN dan PBKL untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembaharuan yang ingin dilaksanakan dalam BAM.

Norza kini hanya memegang jawatan selaku timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain presiden BAM.

"Institut Sukan Negara (ISN), saya telah maklumkan pada menteri. Tentang siapa bakal menggantikan saya adalah hak beliau dan saya akan mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa bulan hadapan bagi menjelaskan perletakan jawatan saya.

"Ramai yang mengatakan saya memegang terlalu banyak jawatan, kini saya mengurangkannya ke tahap minimum dan berharap mempunyai lebih tumpuan dan pengurusan masa dalam melakukan pelbagai perkara," jelasnya.

Mesyuarat agung tahunan BAM yang berlangsung hari ini turut menyaksikan kerusi timbalan presiden satu dalam kalangan presiden persatuan badminton negeri, disandang oleh Tan Sri Abdul Aziz Hussain manakala Datuk Wira Lim Teong Kiat diberikan kepercayaan selaku timbalan presiden dua BAM yang bukan daripada kalangan presiden persatuan badminton negeri.

Datuk Ng Chin Chai terus kekal selaku setiausaha kehormat manakala dan Datuk V. Subramaniam dilantik selaku bendahari kehormat BAM.

Dua timbalan presiden tidak memegang jawatan dalam jawatankuasa lain dalam BAM tetapi diberi tanggungjawab lain.

Abdul Aziz akan menyelia penubuhan akademi buat Sabah dan Sarawak manakala Teong Kiat akan menjadi wakil BAM di Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Kami memiliki seorang presiden yang dinamik dan memiliki banyak visi untuk BAM. Saya mahu bekerjasama dengan beliau bagi memastikan segala-galanya dapat direalisasikan," kata Abdul Aziz.

"Perlu saya katakan beliau (Norza) tampil dengan barisan yang menarik, dan kini ideanya adalah untuk memastikan penglibatan semua pihak, terutama wakil negeri, supaya pemantauan di setiap negeri lebih baik dengan kesemuanya berada dalam jawatankuasa," ujar Teong Kiat.