Kyrie Irving tidak akan bermain atau berlatih bersama Brooklyn Nets sehingga dia dibenarkan untuk mengambil bahagian secara sepenuh masa, kata pengurus besar pasukan itu, Sean Marks.

Pemain berusia 29 tahun berkenaan masih belum mengambil vaksinasi koronavirus dan disebabkan itu, dia tidak dibenarkan untuk bermain di laman sendiri berdasarkan ketetapan yang ditetapkan di Bandar New York.

Di bawah ketetapan bandar itu, penduduk di New York perlu mengambil sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus seandainya mahu memasuki arena tertutup seperti Net Center, yang merupakan lapangan Nets.

Irving -- yang tidak akan menerima sebarang pembayaran sepanjang terlepas aksi di laman sendiri itu -- boleh menjadi taruhan pasukan berkenaan di gelanggang lawan tetapi Nets memilih untuk melupakan khidmat pemain All- Star tujuh kali itu sehingga dia dibenarkan untuk beraksi dalam setiap perlawanan.

"Berikutan perubahan situasi dan selepas melalui perbincangan, kami mengambil keputusan bahawa Kyrie Irving tidak akan bermain atau berlatih bersama pasukan sehingga dia dibenarkan untuk mengambil bahagian secara sepenuh masa," kata Marks dalam satu kenyataan.

"Kyrie telah membuat pilihan peribadinya dan kami menghormati hak peribadinya untuk memilih.

"Buat masa ini, pilihannya itu telah membataskan khidmatnya untuk menjadi ahli sepenuh masa pasukan ini dan kami tidak membenarkan sebarang ahli pasukan kami bermain secara separuh masa," katanya.