LeBron James diarah meninggalkan gelanggang selepas bertindak menyiku Isaiah Stewart di tengah-tengah adegan panas pertembungan di antara Detroit Pistons dan Los Angeles Lakers, sebentar tadi.

Susulan insiden itu, Stewart -- yang berlumuran darah dan berang disiku -- berulang kali cuba menerpa bintang Lakers tersebut hingga terpaksa dipisahkan oleh rakan sepasukan dan jurulatih.


James perlu meninggalkan gelanggang atas dua kesalahan dalam masa 21 minit permainan termasuk insiden mencederakan Stewart hingga membuatkan perlawanan di Detroit itu bertambah tegang.

Ia berlaku pada awal suku ketiga apabila James dan Stewart berebut posisi ketika lontaran percuma kedua Jerami Grant untuk Pistons mendahului 78-66.

Siku kiri James terkena mata kanan Stewart dan pemain Pistons itu pada mulanya menghampiri Pemain Terbaik sebanyak empat kali berkenaan dengan tenang sebelum mula hilang pertimbangan.

Stewart sentiasa membayangi seterunya itu sepanjang permainan dan dalam kekasaran berkenaan, pengadil yang menilai insiden tersebut menerusi ulang tayang memilih untuk mengenakan hukuman tegas terhadap James.

Lakers, bagaimanapun, menghasilkan prestasi mengagumkan dalam suku keempat dengan memungut 37 mata berbanding hanya 17 mata oleh pasukan tuan rumah bagi menjamin kemenangan 121-116.