Bintang Los Angeles Lakers, Anthony Davis, berharap akan sempat pulih menjelang perlawanan wajib menang menentang Phoenix Suns dalam Playoff NBA esok walaupun pasukan perubatan masih belum menentukan statusnya menjelang perlawanan itu.

Davis direhatkan sejak separuh masa perlawanan keempat berikutan kecederaan kelangkang, di mana juara bertahan, Lakers, kini berisiko untuk tersingkir dalam siri pusingan pertama.

Ketiadaan Davis -- yang masih juga masih berperang dengan kecederaan lutut yang dialaminya sejak perlawanan ketiga -- menyaksikan Lakers kini ketinggalan 2-3 di belakang Suns dalam siri Persidangan Barat susulan kekalahan 115-85 dalam perlawanan kelima semalam.

Menjelang perlawanan penting di Staples Center esok, Davis berkata kepada wartawan: "Harap-harap kesemua proses pemulihan dan rawatan yang saya lakukan akan berbaloi dan doktor membenarkan saya untuk bermain. Itulah yang kami mahukan.

"Jadi, saya akan menjalani lebih rawatan malam ini dan selepas itu, kami akan berbincang dengan doktor sebelum perlawanan itu dan harap-harap semuanya akan berakhir dengan baik di mana mereka membenarkan saya bermain. Itulah yang kami harapkan.

"Ia amat sukar, terutama ketika menonton perlawanan dan tidak dapat membantu pasukan.

"Paling menyakitkan adalah apabila mengetahui saya tidak dapat memberikan sumbangan. Badan saya tidak membenarkan saya melakukannya," katanya.