Francesco Bagnaia tetap teguh dengan perancangannya sempena Grand Prix (GP) Emilia Romagna, malam ini, sekalipun Fabio Quartararo akan memulakan perlumbaanya di tempat ke-15 gara-gara bergelut dalam kelayakan.

Quartararo mendahului Bagnaia dengan 52 mata dengan tiga perlumbaan tersisa dan akan dinobatkan sebagai juara MotoGP 2021 pada hujung minggu ini sekiranya dia mengatasi pencabar terdekatnnya itu dengan tiga mata.

Bagaimanapun, pelumba Yamaha itu terpaksa menamatkan aksinya lebih awal berikutan keadaan sukar di Litar Misano yang menyaksikannya gagal layak ke sesi kelayakan kedua buat julung kalinya sepanjang berkecimpung dalam MotoGP.

Catatan terbaik penunggang dari Perancis itu sepatutnya meletakkannya di tempat ke-13, tetapi ia dibatalkan dan dia kini berdepan sukar apabila mempunyai 14 petak untuk memintas Bagnaia jika ingin keluar sebagai juara.

Bagnaia tidak menghadapi masalah sedemikian dalam kedua-dua sesi kelayakan apabila mencatat masa terpantas untuk merebut petak pertama berturut-turut.

Justeru, pelumba Ducati itu berhasrat untuk mengambil kesempatan berkenaan selain memburu kemenangan ketiga dalam empat perlumbaan dalam usaha kekal dalam saingan merebut gelaran.

"Saya masih perlu berusaha keras seandainya Quartararo memulakan sesi kelayakan kedua dan saya juga perlu membuat pendekatan yang sama walaupun dia berada di tempat ke-15," kata Bagnaia.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan untuk membuka peluang merebut kejuaraan ialah cuba menang. Objektifnya tetap sama walaupun Fabio bermula lebih jauh di hadapan."




Quartararo hanya berada di petak hadapan sekali musim ini apabila bermula di tempat kelima di Qatar, sehubungan itu dia meragui gelaran juara boleh dijamin untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi akibat kemunduran malam tadi.

"Sudah tentu ia adalah situasi yang sukar buat saya," katanya.

“Sejujurnya, saya tidak memikirkan tentang kejuaraan kerana Bagnaia berada di petak pertama sementara saya di petak ke-13 atau 15.

"Tetapi dia akan berdepan tekanan, bukan saya sahaja. Dia mempunyai tekanan untuk melakukannya dengan baik dan mungkin dia akan melakukan kesilapan. Saya tidak berharap ia akan jadi begitu tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan.

"Jika semuanya berjalan dengan normal, kami akan bergelut untuk menentukan gelaran di Portimao pada masa akan datang."

Barisan depan dikuasai oleh Ducati yang menyaksikan Luca Marini menamatkan pusingan kelayakan di tempat ketiga dan Jack Miller di tempat kedua apabila dipisahkan 0.025 saat dengan rakan sepasukan, Bagnaia.

Keputusan kelayakan:

1. Francesco Bagnaia (Ducati) 1:33.045
2. Jack Miller (Ducati) +0.225s
3. Luca Marini (Ducati) +0.85s
4. Pol Espargaro (Repsol Honda) +0.268s
5. Miguel Oliveira (Red Bull) +0.394s
6. Franco Morbidelli (Monster Energy Yamaha) +0.481s
7. Marc Marquez (Repsol Honda) +0.805s
8. Iker Lecuona (Tech3) +0.848s
9. Danilo Petrucci (Tech3) +1.095s
10. Johann Zarco (Pramac Racing) +1.642s
11. Aleix Espargaro (Aprilia) +1.198s
12. Jorge Martin (Aprilia) ++51.586s