Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kecewa dengan sikap pegawai sukan kebangsaan yang melatah awal biarpun status penyertaan atlet negara ke Sukan SEA Vietnam belum diputuskan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan jawatankuasa pemilihan atlet akan bersidang esok di mana beberapa persatuan sejak tahun lalu sudah menyahut cabaran menghantar atlet B-23 tahun ke Vietnam.

"Tidak, itu sekadar khabar angin. Tiada apa yang sudah diputuskan. Esok kami akan membuat keputusan yang akan menjadi asas kepada proses pemilihan Sukan SEA.

"Keputusan akan berdasarkan persiapan persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan keadaan pandemik COVID-19 dengan ketiadaan kejohanan untuk dijadikan kayu pengukur prestasi atlet. Niat kami adalah mahu sentiasa membantu NSA untuk menyediakan program pembangunan yang tepat," katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan pendekatan menggunakan atau memilih pemain muda telah diputuskan bersama dalam jawatankuasa kerja MSN dan Persatuan Sepak Takraw (PSM) sejak tamat Sukan SEA 2019.

Pasukan sepak takraw kebangsaan bukan sahaja disediakan ke arah Sukan SEA 2021 malahan juga ke arah Sukan Asia 2022 dan mungkin juga akan kembali ke Sukan SEA 2023 nanti.

Justeru, menurut Shapawi cadangan PSM sendiri bagi 'pasukan campuran' antara pemain senior dan pelapis B-23 tahun merupakan satu cadangan yang boleh dipertimbangkan.

Bagaimanapun, belum ada keputusan muktamad lagi daripada jawatankuasa yang dibentuk oleh MOM bagi mengenalpasti kriteria pemilihan terbaik ke temasya sukan utama yang akan disertai Malaysia.

Buat masa sekarang, PSM mempunyai 30 pemain dan pasukan lelaki dan 15 pemain dalam pasukan wanita tetapi untuk Sukan SEA hanya 12 lelaki dan 12 wanita hanya dibenarkan bertanding.

Daripada 30 pemain lelaki, PSM melatih 20 pemain B-23 gtahun sementara pasukan wanita pula 13 pemain B-23 tahun.

Bagi sepak takraw, pemain akan berdepan dengan saingan lawan yang sama baik di peringkat Sukan SEA mahupun di peringkat Asia dan untuk tempoh 2022-2021, pasukan sepak takraw akan jumpa lawan yang sama dalam tiga kejohanan iaitu Sukan SEA 2021/23 dan Sukan Asia 2022.