Indeks petunjuk prestasi (KPI) dua ketua jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek dan Cheah Soon Kit, bagi skuad perseorangan dan beregu lelaki tidak hanya bergantung kepada taruhan utama, Datuk Lee Chong Wei dan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Kehadiran semula Misbun diharapkan berupaya membantu Chong Wei merealisasikan impian bergelar juara dunia, dengan jaguh perseorangan itu juga dijangka memanjangkan kerjayanya menjangkau 2018.

Tugasan terdekat Soon Kit pula adalah mengetuai skuad beregu lelaki dalam memperincikan punca kemerosotan prestasi V Shem-Wee Kiong.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bagaimanapun, menegaskan pelantikan mereka dianggap gagal jika tidak berhasil melahirkan sandaran berkualiti kepada dua tonggak itu menjelang kitaran dua Sukan Olimpik -- bermula dengan Tokyo 2020.

"Kami tidak hanya bergantung kepada pemain yang sama, baik V Shem-Wee Kiong dan juga Chong Wei.

"Tanggungjawab Misbun dan Soon Kit adalah meramaikan lagi pemain negara yang bertaraf dunia dalam kelompok 20 terbaik," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Pelan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, untuk memenangi Piala Thomas 2018 menjadi keutamaan badan induk itu.

Senario ini sudah pasti menambah tekanan kepada Misbun dan Soon Kit untuk membentuk skuad berkualiti dalam tempoh kurang setahun.

"Sekiranya kami dapat melaksanakan program yang telah dibentangkan, iaitu memperkuatkan perseorangan dan beregu lelaki, tidak mustahil kita mencapai kejayaan tersebut.

"Kalau kita lihat, dalam dua edisi Piala Thomas yang terakhir, kita mara ke final dan separuh akhir."