Tugas berat menanti jurulatih perseorangan wanita negara, Indra Wijaja, untuk membentuk permata baru dan berada dalam kelompok terbaik dunia apabila Malaysia tampak ketandusan harapan di pentas antarabangsa.

Ketiadaan bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, yang mengumum persaraan jelas dirasai skuad negara ketika Piala Sudirman dan Piala Uber tempohari.

Satu-satunya pemain Malaysia dalam kelompok 50 terbaik pula adalah Soniia Cheah yang berada di tangga ke-34 dunia namun dia sudah menjadi pemain profesional dan yang paling hampir merupakan S. Kisona di tangga ke-53 dunia.

Justeru, apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menaikkan lima pemain muda ke dalam skuad senior kebangsaan, ia memberikan pilihan buat Indra kerana sebelum itu hanya punya empat pemain sahaja di bawah kendaliannya.

"Kami akan melihat kepada perkembangan setiap pemain kerana sebelum ini, situasi yang dihadapi membataskan peluang untuk mereka beraksi di pentas antarabangsa bagi membentuk permainan terbaik," kata Indra.

Bagi S. Kisona, dia kini sedang berusaha mendapatkan kembali prestasi terbaiknya ketika Jun lalu, apabila meraih gelaran juara Terbuka Sepanyol.

Mengikut perancangan, Kisona dijadualkan beraksi dalam Terbuka Perancis 26 Oktober depan, namun dia juga berkemungkinan untuk diserap beraksi di Terbuka Denmark 19 Oktober ini apabila namanya dalam senarai simpanan.

"Saya berharap dapat rentak terbaik dalam kejohanan akan datang kerana mahu terus membuktikan kemampuan saya di pentas tertinggi," kata Kisona.