Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menaruh kepercayaan penuh kepada anak buahnya bagi kelayakan Piala Thomas dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan.

Selepas gagal beraksi cemerlang dalam saingan Masters Malaysia, terdapat kepincangan yang berlaku hingga timbul desakan untuk merombak skuad perseorangan lelaki negara bagi saingan di Alor Setar, nanti.

Misbun, yang memahami situasi yang dihadapi ketika ini, bagaimanapun, berpandangan persediaan bagi aksi berpasukan tidak hanya berpaksikan kepada prestasi satu kejohanan.

"Saya mengambil setiap pandangan yang diberikan sebagai satu perkara positif. Saya lebih tertekan dengan kritikan yang diberikan ini tetapi menerimanya sebagai satu cabaran yang harus dihadapi pemain-pemain," katanya.

Misbun turut menegaskan sebarang pertukaran hanya akan dilakukan selepas selesai kempen kelayakan, sebaliknya terdapat unsur campur tangan yang berlaku.

"Kami akan meneruskan program yang telah ditetapkan hingga tamat saingan," katanya lagi.