Memang epik. Misbun Ramdan Misbun membuktikannya. Wira ini kembali dan mahu gelaran yang pernah disandangnya kembali dalam genggaman.

Misbun Ramdan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata setelah menewaskan naib juara GP Emas tahun lalu, Chong Yee Han (BAM), 21-9, 27-29, 21-11.

Kini halangan Misbun Ramdan pastinya daripada penyandang juara, Lim Chi Wing (BAM).

Terdahulu, Chi Wing bertarung tiga set menentang pemain senior Liew Darren 17-21, 21-11, 30-29.

Perlawanan boleh dikategorikan gred 'A'. Begitu sengit dan amat menghiburkan.

Bayangkan Liew Darren berkelebihan lapan kali untuk menghabiskan permainan dalam set penentuan tetapi Chi Wing tetap kental. Akhirnya, Chi Wing mencapai mata kemenangan 30 untuk layak ke akhir.

Misbun Ramdan berkata, "Cabaran memang sengit. Terasa bahangnya. Chi Wing, kalau dilihat pada permainan tadi, memang liat. Tapi saya akan 'all out'. Alang-alang menyeluk pekasam, saya mahukan kejuaraan ini."

Ramai di Dewan Seri Perdana tahu bahawa anak lagenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, ini baru pulih daripada kecederaan yang boleh menamatkan kariernya.

Tetapi kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan Misbun Ramdan memang terbaik. Dia kembali dan penyokong kembali bersorak.