Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, perlu segera memenuhi potensi sebenar meneruskan legasi Datuk Lee Chong Wei ketika dia menghampiri misi peribadi berada dalam kalangan 10 terbaik dunia.

Itu pandangan bekas Pengarah Prestasi Tinggi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj.

Zii Jia kini di ranking ke-13 dunia hanya menunggu masa untuk mencapai sasaran peribadi itu jika mengekalkan prestasi bagi baki musim ini.

Bagaimanapun, James mahu melihat Zii Jia bukan sekadar mengumpul mata ranking tetapi mencabar barisan elit dunia secara konsisten.

"Zii Jia memiliki potensi untuk menjadi seorang pemain berkualiti. Buat masa ini, dia kelihatan masih lagi menyimpan kemampuan sebenarnya. Dia harus menampilkan segala-galanya di atas gelanggang untuk menjadi terbaik dunia," katanya.

James menjadikan bekas perseorangan negara seperti Rashid Sidek dan Foo Kok Keong yang membarisi skuad Piala Thomas 1992 sebagai sandaran semangat untuk Zii Jia.

Tetapi mentaliti juara itu perlu datang daripada diri Zii Jia sendiri dan bukan atas kemahuan pihak lain.

"Dia sendiri perlu meletakkan sasaran untuk menjadi juara dunia. Zii Jia memiliki persamaan seperti Kok Keong ketika bergelar pemain.

"Ketika itu, Kok Keong dan Rashid merupakan antara sandaran pemain perseorangan dan kesungguhan ketika di atas gelanggang menjadi tunjang kejayaan Malaysia meraih kejayaan dalam Piala Thomas pada 1992," tambahnya.