Novak Djokovic bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan Daniil Medvedev 4-6, 6-3, 6-3, sekali gus menjuarai Kejohanan Tenis Masters Paris awal pagi tadi.

Djokovic tewas kepada Medvedev dalam final Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September lalu, di mana kekalahan itu memusnahkan impiannya untuk menyapu bersih kesemua gelaran grand slam musim ini.

Bagaimanapun, pemain Serbia itu -- yang menewaskan Hubert Hurkacz dalam separuh akhir untuk sah bergelar pemain nombor satu dunia sehingga penghujung tahun ini buat kali ketujuh -- melunaskan dendam berkenaan di Perancis.

Ia merupakan gelaran kelimanya tahun ini dan kejuaraan keenamnya dalam kejohanan itu walaupun tidak mengambil bahagian musim lalu -- Medvedev muncul juara edisi berkenaan.

Djokovic bermula hambar sebelum mengikat kedudukan 2-2 sebelum lawan di ranking nombor dunia itu kembali di depan 4-3 dan memenangi set pertama 6-4

Bagaimanapun, ketika memegang servis dalam game keempat set kedua, pemenang Terbuka AS itu melakukan kesilapan sehingga membenarkan Djokovic bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan hasil kemenangan 6-3.

Dengan momentum dan sokongan pemain yang memihaknya, Djokovic menguasai set ketiga untuk bergelar juara dengan kemenangan 6-3, sekali gus meraih gelaran Masters 1000 yang ke-37 sepanjang kariernya.