Selepas menyingkirkan pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mahu meneruskan misi mengetepikan pemain kelapan dunia, Shi Yuqi, dalam Kejohanan Masters Malaysia di Axiata Arena esok.

Bukan itu sahaja, Zii Jia juga mahu melunaskan dendam terhadap Yuqi yang pernah menewaskannya dalam kejohanan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China.

“Esok kali kedua saya akan bertemu Yuqi. Kali pertama jumpa, saya tewas dan kurang memberi saingan. Jadi, saya harap esok boleh beri lebih saingan sengit atau pun tewaskan dia,” katanya kepada media.

Ditanya sama ada keadaan Yuqi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan memberi kelebihan kepadanya untuk mempamerkan aksi lebih baik daripada lawannya, Zii Jia percaya Yuqi sudah mendapatkan rentaknya kembali.

“Mula dari Oktober lepas dia buat penampilan kembali, keputusan dia memang tidak menentu sangat. Tapi jika dilihat prestasinya dalam kejohanan ini, saya boleh lihat dia sedang kembali ke prestasi asal,” katanya.

Zii Jia yang kini berada diranking ke-14 dunia, mara ke saingan suku akhir perseorangan lelaki Masters Malaysia selepas bertungkus-lumus selama 52 minit untuk menyingkirkan lawan dari India, Sameer Verma, 21-19, 22-20 hari ini.

Mengulas mengenai aksinya, pemain berusia 21 tahun itu mengakui perlu banyak bersabar jika berlawan dengan Sameer yang mempunyai kelebihan bermain 'rally’ panjang.

“Saya rasa set pertama dan kedua lebih kurang sama. Sameer kutip mata terlebih dahulu, namun selepas itu saya berjaya kejar balik. Ini pun satu peningkatan bagi saya,” katanya.

Zii Jia sebelum ini mengejutkan peminat sukan tanah air apabila menewaskan pemain pilihan ketiga dari Denmark, Antonsen, dalam pusingan pertama.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu merupakan wakil perseorangan lelaki tunggal dalam kejohanan kali ini selepas pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, terkandas dalam pusingan pertama menentang Jonatan Christie dari Indonesia.

-- BERNAMA