Harapan pemain badminton perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Masters Malaysia tidak kesampaian selepas tewas kepada pencabar dari Russia, Evgeniya Kosetskaya, dalam aksi pusingan pertama di Arena Axiata, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ying Ying menerima tekanan awal selepas ketinggalan 11 mata dalam set pertama sebelum memberikan kemenangan 21-11 kepada Kosetskaya.

Bagaimanapun, dia memaparkan rentak berbeza dalam set berikutnya untuk kembali menguasai gelanggang dan mengheret perlawanan ke set penentuan hasil kemenangan 21-15.

Namun, aksi yang dipamerkan pemain di ranking ke-45 dunia itu masih belum cukup untuk menidakkan kemampuan lawan dari Rusia itu yang memutlakkan kemenangan 21-17 dalam set terakhir.

"Saya berpeluang cerah untuk mara ke pusingan 16, namun saya tidak memanfaatkan kesempatan itu.

"Saya akur gagal memberikan aksi terbaik hari ini," katanya.

Ia bukanlah permulaan tahun yang baik buat Ying Ying ketika dia mahu untuk merapatkan jurang ranking dengan juara remaja dunia, Goh Jin Wei, dan perseorangan senior, Soniia Cheah.

Sebagai rekod, Ying Ying turut tersingkir awal dalam Masters Thailand minggu lalu.

"Ia masih tidak berjalan lancar sejak tahun lalu.

"Saya sangkakan saya mampu memperoleh permulaan tahun yang baik, namun ia tidak berlaku," tambahnya.