Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menjadi wakil terakhir negara layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Master Malaysia selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, dalam pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Yew Sin dan Ee Yi, bagaimanapun, berdepan kejutan dalam set pertama apabila tewas 15-21.

Bagaimanapun, berbekalkan sorakan semangat penyokong di laman sendiri, wakil negara itu bangkit mempamerkan penguasaan penuh dalam set kedua dan mencatatkan kemenangan 21-12 untuk mengheret pertarungan itu ke set penentuan.

Aksi dalam set ketiga berlangsung lebih sengit dengan kedua-dua gandingan saling berkejaran mata, bahkan Yew Sin dan Ee-Yi sempat ketinggalan 12-15 sebelum menamatkan pertarungan selama sejam 18 minit berkenaan dengan kemenangan 21-19.

Malaysia akan diwakili dua lagi beregu lelaki, iaitu juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan Man Wei Chong-Tee Kai Woon, selain beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, dalam suku akhir esok.