Masters Malaysia: Wei Chong-Kai Wun ke separuh akhir tumbangkan Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan

Muzaffar Musa
Mei 26, 2023 11:22 MYT
Beregu lelaki meningkat naik negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mencipta kejutan apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia dengan menumbangkan beregu nombor enam dunia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan, di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dibezakan 20 anak tangga dalam kedudukan ranking dunia, Wei Chong dan Kai Wun, bagaimanapun mempamerkan semangat juang tinggi di atas gelanggang bagi menafikan rekod di atas kertas itu.
Walaupun tewas satu-satunya pertemuan sebelum ini dengan lawan berpengalaman dari Indonesia itu dalam Terbuka Singapura pada tahun lalu, gandingan negara itu jelas menikmati sorakan semangat penyokong tempatan untuk memberikan tentangan dan saling berkejaran mata dalam set pertama.
Mereka akhirnya menamatkan aksi sengit itu dengan kemenangan 23-21 dalam set pembukaan berkenaan.
Set kedua jelas menjadi milik beregu negara itu, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sebaik mengikat kedudukan 6-6 untuk menamatkan saingan suku akhir itu dengan kemenangan 21-17 selepas bertarung selama 39 minit.
Wei Chong dan Kai Wun seterusnya akan menantikan pemenang di antara satu lagi beregu harapan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, bagi penentuan ke final esok.