Penyingkiran Teo Ee Yi-Ong Yew Sin daripada kem kebangsaan kini memaksa pasangan muda, Nur Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei, segera mempertingkat kemampuan diri untuk meneruskan legasi cemerlang skuad beregu lelaki negara.

Sze Fei dan Izzudin kini berada di kedudukan ke-26 dunia.

Namun, ia masih belum cukup meyakinkan memandangkan dua bekas rakan sepasukan yang kini membawa hala tuju di luar kem kebangsaan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, serta Ee Yi-Yew Sin masih mendahului mereka daripada sudut prestasi.

Tambahan, tahun ini bakal menuntut kudrat mereka dalam acara berpasukan, bermula dengan Kejohanan Berpasukan Asia di Filipina bulan depan dan seterusnya Piala Thomas di Aarhus, Denmark, Mei depan.

"Kami tidak fikir sangat soal itu (mengenai pasangan pertama atau kedua). Sasaran kami mahu beraksi cemerlang dalam kejohanan besar. Mungkin kami akan bincang semula," kata Nur Izzudin.

Terdahulu, pasangan negara itu ditunjukkan jalan keluar daripada pusingan pertama saingan Masters Malaysia setelah tumbang kepada wakil Korea Selatan, Kim Sa Rang-Kim Young-duk, 15-21, 17-21.

"Saya rasa kami perlu kerja lebih keras untuk kejar pasangan pertama. Terlalu banyak beza," ujar Sze Fei.



Editor: Nafis Abdullah