Perjuangan beregu lelaki profesional negara, Ong Yw Sin-Teo Ee Yi, dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia ternoktah di peringkat suku akhir selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Beregu negara itu pada awalnya mempamerkan dominasi penuh dalam set pembukaan untuk mencatatkan kemenangan 21-15.

Bagaimanapun, mereka jelas berdepan kesukaran dalam set kedua untuk akur tewas 16-21, sekali gus membenarkan lawan untuk mengheret perlawanan itu ke set penentuan.

Biarpun berusaha untuk mengejar kedudukan, Yew-Sin dan Ee Yi jelas tidak dapat mendahului selepas kedudukan terikat 4-4 dan ditambah dengan kecederaan yang dialami Ee Yi pada lewat aksi, gandingan negara itu terpaksa akur melepaskan tiket separuh akhir kepada pihak lawan dengan kekalahan 14-21 selepas bertarung selama sejam dan 21 minit.