Masters Malaysia: Perjalanan Pearly-Thinaah terhenti

Bernama
Januari 9, 2020 10:38 MYT
Cabaran wakil wanita tunggal negara dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 berakhir selepas beregu Pearly Tan-M. Thinaah tewas kepada beregu Indonesia dalam pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Gandingan muda negara itu mara ke undian utama, namun terpaksa tunduk kepada pilihan kelapan kejohanan, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 20-22, 15-21.
Semalam, pasangan negara itu yang memulakan aksi sulung mereka dalam kejohanan berstatus Super 500 tahun ini dengan mengetepikan rakan sepasukan, Anna Cheong-Lim Chiew Sien.
Bagi Thinaah, kejohanan Masters Malaysia telah memberi satu pengalaman berharga di samping dapat membantu mengenal pasti tahap prestasi mereka sehingga kini.
"Lawan kami lebih berpengalaman dan lebih tenang walaupun kami mendahului mata dalam set pertama. Kami cuba untuk mengejar semula mata tetapi gagal.
"Ini juga penampilan sulung dalam kejohanan yang bertaraf tinggi. Jadi, saya harap kami boleh banyak belajar daripada perlawanan ini dan terus berusaha lebih gigih untuk kejohanan akan datang,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Pearly, yang turut melakar kejutan bersama Man Wei Chong menewaskan beregu campuran elit dunia dari Indonesia semalam, mengakui tahap saingan Masters Malaysia ini berbeza daripada kejohanan yang lebih rendah yang pernah disertainya.
-- BERNAMA