Nasib berbeza dialami dua beregu campuran terbaik negara dalam suku akhir Masters Malaysia apabila pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menempah tiket ke separuh akhir sementara gandingan kebangsaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai, terkulai di tangan pilihan utama kejohanan.

Perkembangan di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini mencerahkan peluang Peng Soon-Liu Ying untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berbanding rakan senegara mereka itu.

Peng Soon-Liu Ying, yang juga beregu campuran nombor satu Malaysia berdasarkan kedudukan ranking dunia, seperti diramalkan tidak berdepan masalah ketika menentang Takuro Hoki-Wakana Nagahara.

Selain pengalaman sebagai gandingan dalam kelompok 10 terbaik dunia, mereka belum pernah tewas sepanjang dua pertemuan menentang gandingan Jepun itu dan selepas menawan set pertama 21-15, Hoki-Nagahara cuba untuk mengheret pertemuan ke set penentuan apabila mendahului set kedua 16-11.

Bagaimanapun, perincian taktikal daripada Peng Soon-Liu Ying menyaksikan mereka menyamakan kedudukan 17-17 sebelum menang 21-18.

Pencapaian ke separuh akhir akan membakar semangat taruhan negara itu dalam misi merampas gelaran di laman sendiri kali ini.

"Sasaran kami sudah tercapai. Kami berpuas hati dengan persembahan sendiri, lagipun pihak lawan tidak beraksi dengan baik.

"Pertarungan tadi tidaklah begitu memenatkan dan kalau ia diheret ke set ketiga, kami jangka tiada masalah untuk mengharunginya," kata Peng Soon.

Liu Ying pula menyimpulkan kemenangan mereka: "Ketika ketinggalan 11-16, tiba-tiba fokus saya agak kabur.

"Tetapi saya kembali menarik nafas untuk bangkit."

Sementara itu, Soon Huat-Shevon terus berputih mata di tangan pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, buat kali keenam, termasuk pertemuan dalam Kejohanan Masters Malaysia.

Faktor badi kekalahan itu terbukti memberi kesan kepada Soon Huat-Shevon ketika mereka turun ke gelanggang.

Kekalahan 21-11 dalam set pertama langsung tidak membantu keyakinan gandingan itu untuk bangkit dalam set berikutnya.

Siwei-Yaqiong hanya memerlukan 24 minit untuk memutlakkan kemenangan apabila mudah merampas set kedua 21-9.

"Saya kecewa kerana kami tidak dapat beraksi dengan bagus hari ini.

"Pihak lawan mengasak kami menerusi kepantasan sehingga memaksa kami untuk kerap bertahan," kata Soon Huat.

Tambah Shevon: "Kekalahan dalam lima pertarungan lalu membayangi kami.

"Kami perlu cari jalan untuk mengatasinya memandangkan akan berhadapan mereka lagi dalam kejohanan lain."


Editor: Shaiful Shamsudin