Pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing, mahu memanfaatkan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah dalam Kejohanan Masters Malaysia 2020, sekali gus menebus kekecewaan tahun lalu apabila tersingkir dalam pusingan pertama.

Pei Jing menganggap tuah memihak kepadanya kali ini apabila diundi berhadapan gandingan Indonesia yang berada di kedudukan ke-72 dunia, Pia Zebadiah Bernadeth-Ricky Karanda Suwardi, dalam pusingan pertama.

Sebelum ini, Pei Jing bersama pasangannya, Tan Kian Meng, pernah menewaskan pasangan tersebut dalam Terbuka Singapura, April tahun lalu.

Pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu mahu memburu kejayaan pertama musim ini, sekali gus untuk menjadi suntikan semangat dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami sangat bertuah kerana tidak berdepan beregu pilihan. Kami berdepan mereka sebelum ini dan berharap perlawanan pertama akan memihak saya dan Kian Meng," kata Pei Jing.

Biarpun perbezaan ranking yang besar, Kian Meng tidak memandang rendah terhadap lawan selain perlu meraih keputusan positif.

"Walaupun ranking wakil Indonesia itu agak rendah, tetapi mereka memiliki kualiti tersendiri dan kami berwaspada dan tidak memandang mudah perlawanan ini," kata Kian Meng.



Editor: Ammar Hakim