Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dipaksa mengerahkan segala kudrat yang ada sebelum mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, gandingan negara itu pada awalnya mempamerkan dominasi dalam set pertama untuk menang 21-17 ke atas beregu bukan pilihan dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.

Bagaimanapun, cabaran sebenar mula dilalui mereka dalam set kedua, di mana biarpun pada satu ketika selesa mendahului 12-8, Pearly dan Thinaah kemudian membenarkan lawan bangkit untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-18.

Perlawanan berlangsung sengit dalam set penentuan hingga terpaksa dihentikan seketika pada pertengahan aksi berikutan kecederaan paha yang dialami Pearly.

Pasangan negara itu turut dikerah beraksi dalam rally terpanjang dengan 211 pukulan ketika mendahului 17-14.

Pearly dan Thinaah akhirnya mengesahkan kemenangan 21-19 selepas bertarung selama sejam dan 29 minit.