Dua pemain yang tersenarai ke kelayakan Piala Thomas 2018, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven, tersingkir daripada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Ketika Lee Zii Jia cemerlang menewaskan wakil Denmark, Emil Holst, 21-12, 21-18, untuk melangkah ke pusingan kedua, Iskandar gagal membuktikan kredibiliti yang pernah dimilikinya apabila tumpas kepada lawan dari Denmark, Anders Antonsen, 10-21, 21-11, 9-21.

Joo Ven pula ditunjukkan jalan keluar 8-21, 12-21 menentang pemain Perancis, Brice Leverdez, yang pernah menyingkirkan Datuk Lee Chong daripada Kejohanan Badminton Dunia tahun lalu.

Ia satu keadaan yang merisaukan tatkala mereka merupakan tonggak yang bakal dipertaruhkan negara untuk menghadapi kelayakan Piala Thomas, iaitu Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan.

"Memang masa menentukan, cuma saya perlu bijak ambil peluang. Memang banyak kritikan diterima tetapi saya enggan memikirkannya.

"Saya mahu banyak berbincang dengan jurulatih (Datuk Misbun Sidek)," kata Iskandar.

Bagaimanapun, masih ada lagi kejohanan menanti barisan pemain negara untuk membuktikan keupayaan masing masing, dengan destinasi seterusnya adalah Kejohanan Badminton Terbuka India, 30 Januari ini.

"Saya akan terus bekerja keras. Tiada yang selesai selagi saya mahu terus memberikan yang terbaik. Usaha saya masih belum cukup," kata Joo Ven.

Turut sama terkandas adalah pemain beregu campuran negara, Chen Tan Jie-Cheah Yee See, yang disingkirkan lawan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul.

Meskipun cuba memberi tentangan dalam set kedua, mereka terpaksa akur dengan tentangan yang ditampilkan lawan dengan keputusan akhir 21-19, 19-21, 21-11.

Sementara itu, impian untuk melihat perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su Ya, untuk melakukan kejutan terhadap pemain nombor satu dunia, Tai Tzu-ying dari Taiwan, tidak kesampaian.

Soniia mencipta kejutan dalam set pertama apabila menang 21-18, namun Tzu-ying menggunakan kelebihan untuk menamatkan dua set lagi dengan menang 21-12, 21-12.