Saingan suku akhir Masters Malaysia 2019 akan mempertemukan pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, dan beregu profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kedua-dua pasangan itu mara selepas menundukkan lawan masing-masing dalam aksi pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Soon Huat-Shevon menumpaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara, 21-13, 21-19 manakala Peng Soon-Liu Ying dikerah beraksi dalam tiga set sebelum menewaskan beregu China, Lu Kai-Chen Lu, 17-2,1 21-17, 21-15.

“Kami sememangnya bercita-cita untuk menjadi pasangan beregu campuran nombor satu negara.

"Bagaimanapun, apa yang paling penting ketika ini adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Mungkin akan ada sedikit tekanan memandangkan kedua-dua pasangan mahukan kemenangan.

"Namun, kami mempunyai jurulatih yang akan membantu.

“Kami merupakan lawan di atas gelanggang walaupun bersahabat di luar,” kata Shevon.

Turut berlangsung sebentar tadi adalah perlawanan melibatkan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, yang tewas 9-21, 18-21 kepada gandingan Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto.