Peluang melihat wakil tunggal negara melangkah ke final dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Masters Malaysia tidak kesampaian apabila Liew Daren menarik diri pada saat-saat akhir menjelang saingan separuh akhir hari ini akibat kecederaan.

Pemain profesional negara itu dijadual menentang pilihan keempat, Son Wan Ho, di Arena Axiata, Bukit Jalil tetapi terpaksa memberi laluan percuma kepada pemain Korea Selatan itu ke final apabila mengalami kecederaan tapak kaki kiri.

Pemain itu menjelaskan bahawa kecederaan itu berlaku selepas menyingkirkan pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi, dalam suku akhir semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertambah serius selepas bangun pagi tadi apabila terasa sakit ketika memijak lantai.

Namun, keazaman untuk meneruskan cabaran tidak mematahkan semangat pemain berusia 31 tahun itu untuk turun ke gelanggang pagi ini tetapi terpaksa akur dengan keadaan ketika sesi memanaskan badan.

“Memang kecewa tapi saya tidak boleh buat apa-apa, saya harap kecederaan ini tidak serius dan boleh kembali semula dalam kejohanan lain selepas ini,” katanya.

Menurutnya, dia perlu mendapatkan laporan perubatan daripada doktor sebelum memastikan sama ada dapat kembali beraksi atau tidak dalam Kejohanan Masters Indonesia 2019 di Jakarta bermula Selasa ini.

Daren turut memohon maaf dan berterima kasih kepada semua peminat yang hadir sejak hari pertama kejohanan untuk memberi sokongan kepadanya dan pemain negara yang lain.

-- BERNAMA