Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, muncul wakil tunggal Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia (Indonesian Masters Badminton Championship) selepas menewaskan gandingan pilihan keempat dari Thailand di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta hari ini.

Turun selaku pilihan keenam, Pearly dan Thinaah mencipta kejutan apabila mempamerkan aksi agresif sewaktu menentang Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai sebelum mengesahkan kemenangan 21-11, 21-16 dalam masa hanya 44 minit.

Menanti mereka dalam penentuan ke final esok adalah wakil tuan rumah dan pilihan ketujuh kejohanan, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Dalam pada itu, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii jia, tersingkir di tangan pemain pilihan keempat tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting, selepas tewas 21-18, 16-21, 15-21.

Turut terkandas dalam suku akhir adalah beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang terpaksa akur dengan kekalahan 21-16, 13-21, 17-21 kepada gandingan China, Liang Wei Kang-Wang Chang.

Satu lagi beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, pula terpaksa akur dengan kehebatan pasangan pilihan utama milik Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, yang mencatatkan kemenangan 10-21, 21-11, 21-18 dalam masa 51 minit.